Khamis, 25 April 2013

Band PBS



6
APAKAH YANG DIMAKSUDKAN DENGAN BAND?



Dalam PBS pencapaian murid dilaporkan berdasarkan band dan bukan lagi sebagai skor mentah seperti  81% atau pun gred A,B,C,D.

BAND
STANDARD
6
Tahu, Faham dan Boleh Buat dengan Beradab Mithali
5
Tahu, Faham dan Boleh Buat dengan Beradab Terpuji
4
Tahu, Faham dan Boleh Buat dengan Beradab
3
Tahu, Faham dan Boleh Buat
2
Tahu dan Faham
1
Tahu

Di Band 1, murid tahu perkara asas, atau boleh melakukan kemahiran asas atau memberi maklum balas terhadap perkara yang asas contohnya bagi Matematik murid di Band 1 mampu mengenal angka 1,2,3 ....

Di Band 2, murid menunjukkan kefahaman untuk menukar bentuk komunikasi atau menterjemah serta menjelaskan apa yang telah dipelajari contohnya murid tahu dan faham nilai angka seperti 24 lebih banyak dari 10 dan 55 kg lebih berat daripada 48 kg.

Di Band 3, murid boleh menggunakan pengetahuan untuk melaksanakan sesuatu kemahiran pada suatu situasi. Bagi matematik Band 3 menunjukkan murid telah menguasai operasi mudah tambah, tolak, darab dan bahagi.

Murid yang telah mencapai Band 3 dianggap telah menguasai kemahiran asas dalam subjek tersebut.

Di Band 4, murid melaksanakan sesuatu kemahiran dengan beradab, seperti tertib atau melaksanakan sesuatu mengikut prosedur dan secara sistematik seperti menyelesaikan operasi tolak dengan mendahulukan rumah ’sa’.

Di Band 5, murid melaksanakan sesuatu kemahiran dengan beradab pada situasi baru, dengan mengikut prosedur atau secara sistematik, serta tekal dan bersikap positif. Bagi matematik murid yang mencapai Band 5 mampu menyelesaikan masalah seperti Berapa biji telurkah yang boleh dibeli oleh Ali dengan wang RM10.00 jika sebiji telur berharga 20 sen?

Dan akhir sekali, di Band 6,  murid mampu menzahirkan idea yang kreatif dan inovatif, mempunyai keupayaan membuat keputusan untuk mengadaptasi permintaan serta cabaran dalam kehidupan seharian serta boleh berbicara untuk mendapatkan dan menyampaikan maklumat menggunakan ayat yang sesuai secara bertatasusila dan menjadi contoh secara tekal. Di Band 6 murid boleh membuat keputusan dalam masalah seperti membuat pilihan di antara kemeja biru yang berharga RM30.00 tetapi diberi diskaun 50% dan baju tawaran terbaik (best buy) yang sama kualiti dengan harga RM20.00.

Band 3 boleh disamatarafkan dengan gred lulus. Justeru guru perlu merangka aktiviti pemulihan bagi membantu murid mencapai Band minima 3.

PBS memberi autonomi kepada guru untuk melaksanakan pentaksiran berdasarkan kesediaan murid. PBS membantu guru dan murid mengenalpasti kekuatan dan kelemahan murid semasa pengajaran dan pembelajaran berjalan. Sehubungan dengan itu guru bolehlah menyesuaikan aktiviti pengayaan atau pemulihan mengikut keperluan murid.

Wajar diingat bahawa PBS tidak membandingkan murid dengan murid lain. Sebaliknya kejayaan murid diukur bersandarkan Standard yang harus dicapai di sesuatu tahap pembelajaran. Adalah diharapkan dengan cara ini tekanan ke atas murid dan guru dapat dikurangkan kerana murid tidak dibandingkan dengan kumpulan yang lebih cerdas atau terpaksa menunggu rakan lain yang belum menguasai sepenuhnya sesuatu kemahiran yang diajar untuk maju. Sekiranya dilaksanakan dengan baik dan terancang PBS bakal  mewujudkan persekitaran yang harmonis dalam kelas untuk untuk perkembangan individu.

7
ADAKAH PBS AKAN MENAMBAH BEBAN TUGAS GURU?

Sekiranya diurus dan dilaksanakan dengan bijak, guru akan mendapati bahawa PBS memberi banyak manfaat dan mampu mengurangkan beban tugas guru.

Bagi membantu guru melaksanakan PBS, dua aplikasi ICT telah dibangunkan untuk memastikan guru tidak dibebani dengan tugas-tugas perkeranian. SPPBS (Sistem Pengurusan Pentaksiran Berasakan Sekolah) and PAJSK (Pentaksiran Aktiviti Jasmani, Sukan dan Kokurikulum) dibangunkan bagi merekod, menyimpan dan melapor perkembangan murid. Data yang disimpan boleh dicetak sebagai laporan apabila diperlukan.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan